November 10
Pengajaran Dari Kisah Hidup 4 Imam Mazhab
Assalamualaikum.
Dua minggu lalu aku telah berjanji dengan semua untuk menulis sedikit tentang kisah Joe The Plumber yang kita bincangkan dalam usrah. Walaubagaimanapun, dek kerana aku merasa tidak mampu untuk menulis tentang isu itu, aku mohon dengan Akhi Fazrul untuk mengantikannya dengan perkongsian dari kuliah MSA retreat 2 minggu lepas berkenaan 4 imam besar mazhab. Tapi lepas ni jangan la ada ahli usrah yang lain mintak excuse nak tukar tajuk plk. Since i’m the first one, ada privilage skit kot. Apapun, mungkin dah ramai dari kita yang mengetahuinya. Kalau dah tahu, mungkin ini sebagai peringatan untuk anda amalkan dan sampaikan kepada orang lain. Ada paham?
Rasanya semua dah belajar pasal keempat-empat imam besar ni sewaktu SPM kan?? Soalnya antara ingat atau tidak sahaja. Kalau selalu lupa cam aku, boleh buka sini, sini, sini dan sini. Sebab bukan itu yang mahu ku kongsikan di sini.
Alhamdulillah..Dalam MSA Retreat tu, basically hanya 100% talk oleh Syeikh Bachir. Agak berbeza sedikit dengan Islamic Fall Retreat Purdue. Walaupun kedua-duanya ‘retreat’. Tapi konsep kedua-duanya sangat berbeza.
Dalam kuliah bersama Syeikh Bachir, beliau telah menelusuri riwayat hidup 4 Imam besar ini bermula dari Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad Bin Hanbal. Kisah hidup mereka memang unik dan bukanlah untuk sekadar bacaan atau cerita di waktu lapang atau untuk di’luah’kan didewan peperiksaan, tapi untuk dijadikan renungan dan panduan hidup.
Disini aku catatkan sedikit sebanyak pengajaran penting yang aku perolehi dari kuliah Syeikh Bachir ini. Kebanyakannya adalah isi pembentangan Syeikh Bachir sendiri dan ada beberapa yang aku terpikir. Segalanya terdedah kepada kesilapan. Komen, kritikan, pembetulan atau penambahan amat dialu-alukan.
1. Sunnah menuntut ilmu. Menuntut dan mendalami ilmu terutamanya ilmu Islam adalah satu proses yang panjang. Kesemua imam ini menghabiskan keseluruhan hidup mereka selama berpuluh-puluh tahun untuk menjadi imam mujtahid. Malah mereka berguru dan mengembara ke merata tempat untuk mencari guru dan mencari sumber hadith. Pendek kata, menuntut ilmu adalah satu proses yang panjang dan memerlukan pengorbanan. Bukan setakat selepas habis sekolah atau selepas selesai ijazah pertama. Dan menuntut ilmu perlukan guru, bukannya berguru pada ’syeikh google’ semata.
2. Bersedia sebelum ke kelas. Dikisahkan juga tentang ketajaman akal dan kesungguhan Imam Syafie dalam menuntut ilmu. Beliau terlebih dahulu menghafal kitab al-Muwatta pada usia 10 tahun sebelum pergi ke Madinah pada usia 13 tahun untuk menuntut dengan penulis kitab itu iaitu Imam Malik.
3. Ringankan mulut untuk berkata ‘tidak’ jika tidak tahu. Keempat imam besar ini sangat la berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa. Contoh yang terbaik adalah Imam Malik dimana diriwayatkan pada satu ketika, beliau diajukan sebanyak 40 soalan dan diwajab beliau dengan ‘aku tidak tahu’ kepada 32 daripadanya. Dalam satu kisah lain, beliau menyatakan bahawa beliau tidak akan memberikan fatwa sebelum 70 ulama Madinah yang mengiktiraf kelayakan beliau. Antara kata-kata beliau yang masyur(dalam bahasa inggeris)
“The shield of the scholar is, ‘I do not know,’ so if he neglects it, his statement is attacked.”
4. Belajar sesuatu yang diluar dari bidang kita. Diriwayatkan bahawa Imam Syafie merupakan seorang yang bukan sakadar seorang alim dalam bidang fiqh, malah pandai bersyair, handal memanah, menunggang kuda dan mendalami ilmu genealogi. Menurut Syeikh Bachir, mendalami sesuatu yang diluar dari bidang kita boleh membantu seseorang itu memahami orang lain dan dekat dengan masyarakat.
5. Peranan ibu. Tiga dari 4 imam besar ini (kecuali Imam Abu Hanifah) mendapat didikan dan pengaruh yang sangat kuat dari ibu masing-masing untuk menuntut ilmu. Malah, bapa mereka ada yang meninggal sebelum lahir (Imam Ahmad) dan meninggal ketika kecil (Imam Syafie). Peranan ibu dalam mencorak mereka pada peringkat awal usia sangatlah besar. Menurut Syeikh Bachir, bukanlah menafikan peranan bapa, tapi sekadar mahu menekankan soal pembentukan anak yang bermula dari peringkat pemilihan ibunya kerana ibulah yang akan meluangkan lebih masa bersama anak. Pesanan syeikh Bachir sangat ringkas-be highly selective and don’t pick up from streets.
6. Jangan pernah merasa terlambat untuk menuntut atau mendalami ilmu agama. Berbeza dengan Imam lain, Imam Abu Hanifah hanya mula menyertai halaqah ilmu dibawah Imam Hammad ibn Sulayman pada umur 22 tahun selepas bertemu dengan Amir as-Shabi dalam perjalanannya untuk berdagang. Selepas pertemuannya itu, beliau mula menuntut dibawah halaqah Imam Hammad ibn Sulayman hingga mengambil alih tempat gurunya itu pada usia 40 tahun. Ilmu tak mengenal usia. Dan ilmu juga tidak terhad kepada pelajar-pelajar sepenuh masa sahaja seperti yang ditunjukkan dalam kisah Imam Abu Hanifah itu dimana beliau pada mulanya hanyalah seorang pedangang.
Setakat itu sahaja yang mampu aku kongsikan. Diulangi, sebarang komen, kritikan, pembetulan atau penambahan amat dialu-alukan.
Akhir kata, maaf atas kekurangan tulisan yang tak seberapa ini.
Sekian Wasallam

Kepada yang berminat nak tahu lagi dalam bentuk audio, ana rekemenkan Audio CD Under the Shade of the Scrolls oleh Imam Alshareef terbitan IlmQuest Productions. yang ni boleh google untuk maklumat lanjut