December 18
Antara MAS dan IMAN
Dalam buku Agenda To Change Our Condition, (ustad*) Hamza Yusuf mengingatkan kita akan imperatif (kepentingan) penglibatan masyarakat dengan memetik firman Allah Azza Wa Jall, Kuntum khaira ummah ukhrijat linnas (Kamu masyarakat yang terbaik yang telah diwujudkan untuk manusia).
Seterusnya beliau mengungkapkan hadis Baginda Rasulullah s.a.w., “Allah will continue to assist the servant, as long as the servant is assisting his brother.” Begitulah rahmat Allah memayungi kita bilamana wujudnya sikap tolong-menolong antara satu sama lain.
Dalam peradaban silam Islam, kegemilangannya sering dikaitkan dengan kota-kota tertentu. Dan begitu juga bila kita lihat sirah nabawi, Rasulullah s.a.w. dikaitkan dengan sebuah kota, seperti firman Allah, “Laa uqsimu bihazal balad. Wa anta hillun bihazal balad” (Aku benar-benar bersumpah dengan kota ini (Mekah), dan kamu (Muhammad) bertempat di kota Mekah ini).
Percambahan peradaban dan keilmuan Islam itu juga seringkali dikaitkan dengan sesebuah kota. Ustad Hamza Yusuf memberi contoh seperti Damsyik, Baghdad, Samarqand, Cordoba, Fez, Istanbul, Timbuktu dan lain-lain. Dan ingin aku tambah juga kota-kota Nusantara yang wajar beliau sebutkan seperti Pattani, Banjar dan Palembang.
Malah para ulama kita juga diberi gelaran berdasarkan kota di mana mereka berperanan. Umpamanya, guru tersohor al-Ghazali, Imam al-Juwayni itu diberi gelaran al-Haramayn. Tokoh hadis Ibn Hajar diberi gelaran al-Asqalani (kota Asqalan). Tokoh sufi Ibn Ataillah punyai title al-Iskandari (kota Iskandariah). Ulama nusantara pun begitu juga, seperti sheikh Daud al-Fattani (Pattani) dan sheikh Abdul Samad al-Falimbani (Palembang).
Maka bila direnungkan sejenak, timbul persoalan kenapa agaknya mereka perolehi gelaran berdasarkan bandar mereka? Jangkaan aku, antara sebabnya ialah besarnya peranan mereka memimpin masyarakat dan mencorak peradaban kota-kota tersebut. Hal ini membuktikan imperatif penglibatan dalam masyarakat. Ini antara legasi yang ditinggalkan para ulama dan awliya, waris Rasulullah s.a.w. dan para anbiya terdahulunya.
Penglibatan masyarakat ini menjadi perkara yang semakin penting dalam zaman pasca moden dan global ini. Kita sudah menjangkaui era kolonialisasi mahupun ancaman komunisme. Era pasca moden ini antara ciri-cirinya ialah kebenaran relatif, wacana existentialis dan kemajmukan budaya-identiti. Zaman ini merupakan zaman peralihan dan pendefinisian semula lanskap politik mengikut corak pelobian komponen-komponen masyarakat sivik (civil society). Ini, kata DS Anwar Ibrahim, Cak Nur dan lain-lain sepertinya, adalah realiti masyarakat madani.
Untuk memainkan peranan tersebut, di USA ini kita dapat lihat trend pembentukan “jemaah Islam” di bandar-bandar utamanya. Antara terawal dan terkenal ialah IMAN (Inner-city Muslim Action Network) di Chicago kendalian cendekiawan-aktivis Rami Nashashibi. Corak ini sedikit berbeza dengan cara yang kita sudah biasa kerana organisasi seperti IMAN berdiri dengan sendirinya sedangkan jemaah-jemaah ala Ikhwani seperti MISG dan MAS tidak terhad kepada bandar tertentu.
Pada awalnya aku lihat trend baru ni tak bagus. Selalu aku dan teman-teman MAS Youth Chicago persoalkan, kenapa mereka buat organisasi yang terhad kepada inner-city sahaja? Kenapa tak terimapakai sahaja modul-modul MAS Youth dan bergerak menggunakan platform MAS? MAS punyai cawangan seluruh USA, bahkan ada jaring hubungan dengan lain-lain jemaah sefikrah seluruh dunia. Dan kami perlukan banyak tenaga manusia untuk menjayakan deretan signature projects tahunan. IMAN seolah suatu ancaman kerana mereka merebut market-share yang sekian lama kami bolot.
Apa agaknya yang istimewa tentang IMAN ini hingga mendapat sambutan sangat positif? Kenapa MAS tak boleh lakukan perkara sama? Ya, ada apa dengan IMAN? Dan bukan IMAN sahaja. Bandar-bandar lain wujud badan seperti IMA juga. Misalnya, di Los Angeles wujud badan UMMA manakala Texas ada IANT. Di Dulles, berdekatan Washington D.C pula ada ADAMS.
Di Post-Muktamar nanti kita akan adakan lawatan ke ADAMS center. Apakah aku akan temui jawapan kepada persoalan di atas?
Jom ke Post-Muktamar!
